Selamat Datang ke blog Pembimbing Rakan Sebaya Smk Seremban Jaya.

PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING PERCUMA

Sila hantar sebarang pertanyaan dan permasaalah anda kepada email blogs ini untuk dijawab oleh kaunselor sekolah kami.Nama anda akan dirahsiakan .Permasaalah anda akan dijawab dan dipamerkan dalam blogs ini.Kami juga mengalu-alukan juga sumbangan artikel dan sebagainya untuk dimuatkan dalam blogs ini.terima kasih.

Sunday, December 28, 2008

Sunday, December 28, 2008

Akal dan Ilmu

Fungsinya mampu melahirkan keajaiban manusia yang sedar tentang potensi berfikir

Bismillahirrahmanirrhaim

Pada kali ini perkongsian berkait "Pemberian akal dan ilmu merupakan Kurniaannya" yang dibaca melalui satu laman di internet. Kali kedua saya memasukkan isu ini di blog ini.

Teringat pula kata-kata guru saya ketika di alam persekolahan; "Orang yang suka berfikir itu sebenarnya orang yang tidak banyak bercakap, dan bercakap pada yang benar; Orang yang suka berfikir itu sebenarnya orang yang banyak menilai dan bercakap dengan Allah dan banyak muhasabah diri, dan pencapaian pemikiran yang tertinggi ialah pergi sejauhmana pun ketinggian ilmu yang dicari, akhirnya orang itu akan mengaitkan punca ilmu yang difikirkannya itu ialah puncanya Allah". Maka tidak lari dan terbabas lah orang itu.

ALLAH s.w.t. menciptakan manusia sebagai satu mahkluk yang paling utama dan mulia di alam ini. Sebagai bukti atau lambang kemahabijaksanaan Allah dalam semua aspek. Allah memuliakan mereka dengan diberinya “akal”. Manakala pemberian ini tidaklah sama antara satu sama lain, baik kekuatan berfikir atau memahami, daya ingatan (hafalan) dan lain-lain.

Di samping itu kita mendapati di kalangan mereka peratus yang kecil (cuma 2%) manusia yang cerdas, begitu juga manusia yang terencat akal. Manusia yang terencat akal adalah sukar dibantu, manakalah kelemahan akal adalah dapat diatasi dengan perawatan rohani dan fizikal.

Menurut Imam al-Ghazali dan al-Maawardi akal itu terbagi kepada dua:

1. Akal Gharizi
Iaitu akal atau ilmu yang diperolehi secara semula jadi sejak anak-anak dalam masa menuju perkembangan.

2. Akal Muktasab
Iaitu akal atau ilmu yang diperoleh dengan cara berusaha atau belajar dengan menggunakan pengalaman orang dahulu dan percubaan sendiri.
Di samping itu kita perlu menyedari cara manusia memperoleh ilmu pengetahuan itu pula adalah berlainan antara satu golongan dengan golongan yang lain berdasarkan kurniaan Allah dan persiapan-persiapan yang disediakan Allah dalam diri manusia yang berkaitan,iaitu:

1. Golongan Para Anbia Dan Rasul, mereka mempunyai sifat-sifat rohani dan jasmani yang sempurna di mana mereka memperoleh ilmu dengan cara wahyu atau berita dari Allah s.w.t.
2. Golongan Auliya (para wali), mereka memperoleh ilmu dengan cara mendapat ilham atau laduni iaitu ilmu yang didapat tanpa belajar tetapi mestilah juga berusaha paling kurang mempunyai ilmu-ilmu asas sebagai persiapan; sebab ilham tidak akan datang merupai sesuatu ilmu baru, yang belum pernah dikenali asasnya.
3. Golongan Ulamak dan Cendikiawan, mereka memperoleh ilmu adalah dengan cara biasa iaitu dengan cara belajar menggunakan pengalaman atau pengkajian orang lain dan juga percubaan sendiri.

Allah adalah sumber ilmu, manakala kitabNya pula sumber nur dan ilmu pengetahuan. Di dalam al-Quran Allah berfirman:
“Allah mengurniakan hikmat (rahsia ilmu) kepada siapa yang dikehendakiNya; dan siapa yang dikaruniakan hikmat maka sungguh dia telah diberikan kebajikan yang banyak; dan tiadalah yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berfikir."

(al Baqarah: 269)

---Inilah yang dicari-cari oleh kita sebagai manusia yang cintakan ilmu. Saya mendoakan semoga landasan dan peluang yang diberikanNya dapat dijaga dan dipergunakan dengan sebaik-baiknya---

Perubahan akal dengan pandangan hati
Al-Quran dan al-hadis menyatakan bahwa perhubungan akal dengan hati itu adalah amat rapat sekali di mana hati merupakan lombong kepada akal dan ilmu.

Allah berfirman:"Tidaklah mereka berjalan di muka bumi hingga mereka mempunyai hati yang mereka boleh berfikir (memahami)."
(al-Hajj: 46)

Di samping itu pula kita mendapati beberapa buah hadis Nabi s.a.w yang menyatakan di antaranya :
"Akal itu adalah cahaya dalam hati yang dapat membedakan antara yang benar dengan yang palsu."

"Ketahuilah bahawa perbandingan akal dalam hati itu adalah seperti perbandingan lampu dalam rumah."

Ayat al-Quran dan hadis-hadis ini menunjukkan tempat akal itu ialah di hati dan menunjukkan bahwa akal itu ialah ilmu pengetahuan.
Menurut Imam al-Ghazali, hati manusia itu mempunyai dua buah pintu, iaitu:

1. Pintu yang terbuka ke arah alam malakut iaitu Lauh Mahfudz dalam alam malaikat. Menurut beliau bahawa hakikat segala sesuatu itu adalah tersurat di Luh Mahfudz dan gambarannya dapat dicapai oleh pendakian hati manusia yang bersih .

2 . Pintu yang terbuka ke arah panca indera yang bertumpang kepada Alam Syahadah
(Kerajaan Duniawi dan Alam Nyata)

Pintu-pintu ini hanya orang-orang yang semata-mata berzikir kepada Allah s.w.t., Menurutnya kegiatan para ulama ialah menuntut dan mengkaji ilmu serta memasukkannya ke dalam hati; sedang para wali dan sufi mereka berbuat untuk membersihkan hati, menyucikannya menjernihkan menggilapkannya sahaja agar dia dapat membuat hubungan dengan Allah dan memperindah kegemilangan hati untuk Allah s.w.t semata-mata.

Menurut beliau, hati itu mempunyai cermin untuk memandang di mana bila terang cerminnya, maka akan teranglah segala maklumat atau yang lebih dikenal sebagai ilmu pengetahuan.

Jika dikaji dalam al-Quran dan hadis, maka hati itu ada yang dimaksudkan dengan “Suatu pengertian di mana manusia boleh mengerti hakikat segala sesuatu”. Apabila cerahlah cermin hati, maka akan terang benderanglah gambaran alam Mulk dan Malakut. Dalam hal ini didapati cermin hati para nabi adalah terang sekali di mana mereka dapat melihat dengan amat terang akan kedua-dua alam itu.

Definisi akal
Seterusnya definisi “akal” menurut al-Ghazali mempunyai dua pengertian:

1. Akal itu adalah mengetahui hakikat segala sesuatu. Dalam hubungan ini akal merupakan sifat ilmu yang terdapat dalam perbendaharaan hati.
2. Akal itu ialah alat untuk menangkap dan mendapatkan segala maklumat. Dalam hubungan ini akal itu ialah hati itu sendiri yang merupakan hakikat manusia.

Berdasarkan definisi ini, Prof. Hj. Mokhtar Yahya dalam bukunya ”Pertumbuhan akal dan memanfaatkan Naluri Kanak-Kanak” beliau menulis:

Akal itu ialah suatu sifat dari pada ciri-ciri jiwa (hati). Dengan adanya akal itu jiwa (hati) dapat mengetahui dan mengenal sesuatu yang ma’qul (yang dapat difikiri) dan mahsus (yang dapat dikesan oleh panca indera).

Al-Maawardi membuat pembahagian kepada akal di mana dari satu seginya akal itu bertempat di hati kerana hati itu adalah sebagai lombong kepada kehidupan manusia dan dia merupakan bahan atau alat untuk merasakan (perasaan).

Muhammad Taqiyyul Mudarrisi memberi definisi bahwa akal itu ialah nur di mana manusia dapat membezakan antara jalan yang lurus dengan jalan yang menyimpang; kebaikan dengan kejahatan, kemungkinan dengan kemustahilan dan yang benar dengan yang palsu.

Manakala Fairuzabadi pula mentakrifkan: ”Akal itu ialah nur rohani yang boleh mendapatkan bahan-bahan ilmu.” Di samping itu ada yang mendefinisikan: hakikat akal itu ialah cahaya yang suci dari liputan pra sangka.

Jadi, akal itu adalah pencapai ilmu pengetahuan. Pengetahuan adalah ibarat dari pada hakikat segala sesuatu yang terletak di hati. Setiap pengetahuan itu pula adalah mempunyai satu hakikat atau kenyataan dan kenyataan itu mempunyai gambar yang tercetak jelas dalam cermin hati.Tugas kita adalah memperjelas atau menggilapkan cermin itu dengan sejelas-jelasnya supaya kenyataan atau hakikat segala sesuatu itu adalah jelas kepada kita.

Akal menurut pengertian Islam bukanlah semata-mata akal yang boleh menyelesaikan masalah-masalah ilmiah tetapi juga lebih dari itu ialah akal yang boleh menimbangkan antara perkara yang baik dengan yang buruk, antara yang benar dengan yang palsu dan akal itu tunduk pula kepada wahyu Ilahi.

Dari sini kita dapat mengukur kekuatan atau ketinggian seseorang itu adalah berdasarkan kepada kesanggupannya untuk memahami sumber ilmu yang sebenarnya iaitu Qur’an dan hadis dan kesanggupannya untuk mengikuti wahyu dan tatasusila keagamaan. Rasulullah pernah bersabda:

“Tiadalah beragama orang yang tidak berakal dan tiadalah berakal orang yang tiada beragama.”

Malah ada orang berpendapat bahawa agama seseorang itu adalah mengikut akalnya, bagaimana kedudukan akalnya maka begitulah kedudukan agamanya.

SUMBANGAN RAKAN DARI UPSI UNTUK TATAPAN SEMUA.